
SEBUAH sekolah antarabangsa Islam bernilai RM6 juta akan dibina di Sungai Ara, Georgetown, Pulau Pinang menjadikan kesemua sekolah antarabangsa di negeri itu sebanyak lapan buah.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pembinaan sekolah itu akan dibiayai oleh Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad.
Menurut beliau seperti dilaporkan Malay Mail Online, kerja-kerja pembinaan akan bermula tahun depan.
Lim berkata sekolah itu akan dibina di atas kawasan seluas 4,863 ekar di Jalan Persiaran Relau berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan Relau.
“Sekolah antarabangsa Islam ini akan melahirkan lebih banyak pakar ilmuwan Islam dari negeri ini,” katanya ketika mengumumkan projek berkenaan di pejabatnya hari ini.
Projek berkenaan akan melibatkan blok akademik, sebuah dewan serba guna, kompleks sukan dan asrama pelajar.
“Projek berkenaan dijangka akan disiapkan menjelang tahun 2017,” katanya.
Dengan adanya sekolah antarabangsa Islam yang pertama di negeri itu, Lim berharap ia akan menjadi perintis untuk memperbaiki pendidikan Islam di negeri itu.
“Ia akan turut mempromosi Pulau Pinang sebagai hub pendidikan kerana sekolah berkenaan merupakan yang pertama seumpamanya terletak di utara Malaysia,” katanya.
Pada masa ini, terdapat lapan sekolah antarabangsa di Pulau Pinang menawarkan pembelajaran mengikut silibus British dan Amerika Syarikat.
Sumber : Malay Mail Online
0 komentar:
Posting Komentar